fb fb fb fb fb

Kesihatan Pele makin pulih, belum dibenar keluar hospital

(Dalam gambar fail yang diambil pada 16 Jun 2016, pemain bola sepak Brazil Pele, melambai selepas dikalungkan
 dengan Pingat 'Olimpic Orde' di Muzium Pele di Santos, Sao Paulo, Brazil/AFP)

SAO PAULO, 13 Disember- tahap kesihatan legenda bola sepak Brazil, Pele terus bertambah baik, selepas menjalani rawatan jangkitan pernafasan dialaminya.

Menurut doktor, bagaimanapun setakat ini belum ada tarikh ditetapkan untuk kebenaran keluar wad oleh hospital Albert Einstein di sini, tempat di mana dia menerima rawatan sejak dua minggu lalu.

Pele, 82, yang dianggap oleh seluruh dunia sukan bola sepak sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, dimasukkan ke hospital berkenaan pada 29 November lalu untuk penilaian semula rawatan kemoterapinya, selepas menjalani pembedahan membuang tumor kolon. pada September tahun lalu.

“Tiada tarikh ditetapkan untuk dia dibebaskan, (tetapi) keadaan klinikal pesakit terus bertambah baik, terutama jangkitan pernafasan.

"Dia terus ditempatkan dan dipantau di wad biasa, kini dalam keadaan sedar dan dengan tanda-tanda vital yang stabil." menurut hospital itu dalam satu kenyataan.

Anak perempuan Pele, Kely Nascimento dan Flavia Arantes telah berusaha untuk meyakinkan peminatnya tentang kesihatannya, menafikan laporan bahawa beliau telah ditempatkan di unit rawatan rapi.

Nascimento, yang tinggal di Amerika Syarikat, berkongsi gambar dari hospital itu di Instagram pada Isnin, termasuk sebelah tangannya memegang tangan bapanya, dengan mesej: "Saya di sini (hospital)."

Pele yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento menjaringkan lebih 1,000 gol sepanjang kerjaya bola sepaknya.

Beliau merupakan satu-satunya pemain dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970).

(Kain rentang memaparkan legenda Brazil Pele dikibarkan penyokong Brazil pada perlawanan bola sepak Kumpulan G
Piala Dunia Qatar 2022 antara Cameroon dan Brazil di Stadium Lusail di Lusail, utara Doha pada 2 Disember 2022/AFP)

"The King" berada dalam kesihatan yang kurang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini,yang menyebabkan beliau jarang muncul di khalayak ramai menghadiri mana-mana majlis dan pertemuan umum, namun tetap aktif di media sosial.

Beliau kerap memuat naik status berkaitan keadaan semasa perlawanan Piala Dunia.

Baru-baru ini, beliau turut berkongsi mesej sokongan diterimanya daripada Neymar selepas "Selecao" tersingkir daripada kejohanan di Qatar dalam pada aksi suku akhir menentang Croatia pada Jumaat.

“Teruskan inspirasi kepada kami,” kata Pele kepada penyerang Paris Saint-Germain berusia 30 tahun itu, yang menyamai rekod 77 golnya untuk Brazil semasa perlawanan itu. -AFP

Media Baharu