fb fb fb fb fb

FAM turun harga tiket Piala AFF 2022

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Harga tiket bagi dua aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022, melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Laos dan Singapura, di Stadium Nasional Bukit Jalil, diturunkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata harga terkini bagi setiap aksi itu adalah RM45 untuk tempat duduk terbuka, RM60 (premium) dan RM70 (grandstand), manakala tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun kekal, RM10.

FAM sebelum ini mengumumkan harga bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah RM50 bagi tempat duduk terbuka, RM70 (premium) dan RM100 (grandstand).

Noor Azman berkata pihak Ticket Hotline akan memulakan proses pemulangan (refund) untuk amaun berlebihan bagi penyokong yang telah membeli tiket pada harga asal.

(Noor Azman Rahman)

"Atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak, FAM membuat keputusan untuk menurunkan harga tiket.

"Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan," kata Noor Azman dalam satu kenyataan.

Tiket bagi kedua-dua perlawanan itu boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my.

Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Media Baharu