fb fb fb fb fb

Maghribi enggan mudah berpuas hati, mahu capai lebih -Regragui

(Jurulatih Maghribi Walid Regragui (kiri) dan pemain tengah Ilias Chair (kanan)
pada sidang mediadi Doha pada13 Disember 2022, sehari sebelum perlawanan
separuh akhir bola sepakPiala Dunia Qatar 2022 menentang Perancis/FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 13 Disember- Maghribi tidak akan mudah berpuas hati dengan sekadar menempatkan pasukan ke tahap separuh akhir Piala Dunia.

Jurulatih Walid Regragui berkata, menjelang pertembungan mereka dengan juara dunia Perancis pada pagi Khamis, beliau tidak mahu perjuangan pasukannya itu terhenti dan semestinya berimpian mara ke perlawanan akhir.

“Sekiranya kami gembira untuk mara ke separuh akhir dan ada yang melihat itu sudah memadai, saya tidak bersetuju.

“Jika anda sampai ke separuh akhir dan anda tidak mengiginkan kemaraan sehingga ke pentas akhir, ia adalah satu masalah.

"Pasukan terbaik dalam kejohanan itu, Brazil sudah terkeluar. Kami adalah pasukan yang bercita-cita tinggi dan kami sangat mengiginkan kemaraan tetapi saya tidak tahu sama ada itu akan mencukupi," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan Maghribi dengan Perancis.

Maghribi adalah pasukan Afrika pertama yang mara ke empat pasukan terakhir tetapi Regragui mempunyai sasaran untuk mencipta lebih banyak sejarah.

"Kami mahu Afrika menjadi teratas dunia, tetapi kami perlu kuat untuk maju.

"Kami bukan pilihan tetapi kami yakin - mungkin itu membuatkan saya meletakkan harapan tinggi umpama satu kegilaan.

"Kegilaan untuk menjadi juara adalah sesuatu yang baik dan boleh jadi impian yang bagus kerana ternyata kami masih dahagakan kemenangan, menjadi juara.

"Semua orang mungkin fikir kami letih, kerana berdepan perlawanan yang sengit membuatkan kami kehabisan tenaga untuk peringkat seterusnya.

Tetapi hakikatnya kami masih beriltizam tanpa rasa putus asa," tambahnya.


(Jurulatih Maghribi Walid Regragui pada semasa sidang media di Doha pada 13 Disember 2022,
sehari sebelum perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menentang Perancis/FOTO IHSAN FIFA)

Jurulatih Maghribi itu segera memberi peringatan bahawa pasukannya telah mengecewakan Sepanyol dan Portugal pada pusingan kalah mati untuk mengatur pertemuan empat terakhir mereka dengan pasukan Didier Deschamps.

"Kami mungkin mempunyai laluan paling sukar untuk ke separuh akhir, tetapi kami berjaya melepasinya.

"Ramai yang menyangka kami akan tersingkir tetapi kami masih di sini dan kami akan berjuang hingga ke penghujung," katanya.

Maghribi mempunyai beberapa kebimbangan kecederaan termasuk pertahanan tengah utama Romain Saiss tetapi Regragui berkata belum ada keputusan muktamad mereka tidak boleh diturunkan

"Terdapat pemain kami yang mengalami beberapa kecederaan tetapi kami mempunyai kakitangan perubatan yang cemerlang yang bekerja keras dan datang dengan berita baik setiap hari," kata Regragui.

"Kami perlu menunggu hingga saat akhir, kami cenderung melakukan itu, tidak ada yang mustahil sekiranya sudah berada pada tahap sejauh ini," katanya.-AFP

Media Baharu