fb fb fb fb fb

MSN sahkan Zii Jia dalam keadaan baik, sedia hulur bantuan

Lee Zii Jia / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai tindakannya berkongsi beberapa lakaran misteri di media sosial semalam.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya selain Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sudah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan kepastian mengapa Zii Jia bertindak sedemikian.

Hantaran misteri dibuat Zii Jia kini mengumpul lebih 131,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian berkenaan termasuk wujud dakwaan pemain berusia 27 tahun itu mungkin sedang berdepan masalah kesihatan peribadi atau mental.

"Mereka (Team LZJ) memaklumkan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Mungkin Zii Jia buat hantaran gambar-gambar berkenaan kerana beliau berminat dengan seni seperti itu.

"Walau bagaimanapun, kita sentiasa terbuka untuk membantu sekiranya pasukan beliau memerlukan bantuan MSN atau Institut Sukan Negara (ISN),” katanya kepada pemberita pada program Hari Sukan Atlet 2025 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Jeffri dalam pada itu menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa atlet kelahiran Alor Setar itu mengalami kemurungan selain menegaskan pihaknya akan terus berkomunikasi dengan Team LZJ.

“Pasukan dan rakan-rakan Zii Jia juga tidak nampak sebarang tanda yang menunjukkan beliau mempunyai masalah dari segi mental ataupun peribadi.

“Generasi sekarang mungkin suka kesenian seperti itu. Jadi, biarkanlah beliau berekspresi,” katanya.

Zii Jia kini berada di ranking ke-27 dunia dan dijangka kembali ke gelanggang pertandingan di Kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini.

Kedudukan ranking beliau sebelum ini merosot ke luar kelompok 20 teratas dunia, berikutan hanya beraksi dalam dua kejohanan tahun ini selepas kecederaan buku lali kanan yang dialaminya di Final Jelajah Dunia pada Disember.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH