fb fb fb fb fb

Perancis tidak akan pandang enteng Maghribi

(Ketua jurulatih Perancis Didier Deschamps (tengah,kiri) bersama penolong jurulatih, Guy Stephan
semasa sesi latihan di Stadium Jassim-bin-Hamad di Doha pada 12 Disember 2022, dalam persiapan ke
separuh akhir bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 perlawanan antara Perancis dan
Maghribi/FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 13 Disember- Penyandang juara Piala Dunia 2018, Perancis akui tidak sekali-kali memandang remeh pasukan lawan Maghribi yang disifatkan skuad penuh kejutan.

Pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane menegaskan pertemuan dengan Maghribi pada separuh akhir awal pagi Khamis ini,bakal menjadi antara paling getir bagi merealisasikan misi penting buat pasukannya.

Selepas menewaskan England pada suku akhir, Les Bleus muncul pilihan utama untuk layak ke perlawanan akhir sekalipun Maghribi sudah menyingkirkan Sepanyol dan Portugal pada pusingan kalah mati di Qatar.

"Kami mempunyai cukup pengalaman dalam pasukan untuk tidak terpedaya dengan perangkap itu," kata Varane, antara pemain Perancis yang turut tersenarai daripada skuad juara Piala Dunia 2018, apabila ditanya mengenai bahayanya jika terlalu yakin.

"Kami sedar Maghribi bukan berada di sini secara kebetulan.

"Ia kini terpulang kepada kami pemain berpengalaman untuk memastikan setiap orang bersedia bagi satu lagi pertarungan."

Menurut Varane, pasukannya berimpian besar untuk menempah tempat ke perlawanan akhir Ahad ini menentang sama ada Argentina atau Croatia.

Katanya, bagi saingan kali ini, Perancis sudah mencapai sasaran ditetapkan persekutuan bola sepak negara itu apabila layak ke separuh akhir

"Tidak mudah untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia jadi kami amat gembira, tetapi satu-satunya objektif sebenar adalah menjuarainya.

"Itulah matlamat yang sering diidamkan." katanya.

(Dari kiri) Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Jules Kounde, Raphael Varane dan Randal Kolo Muani menjalani latihan
menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia menentang Maghribi awal pagi Khamis/FOTO IHSAN FIFA)

Anak buah Walid Regragui itu mengalahkan Portugal 1-0 pada suku akhir selepas menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16 terakhir.

Mereka turut mengalahkan Belgium dan seri dengan Croatia pada peringkat kumpulan dan hanya dibolosi satu gol,menerusi gol sendiri, dalam lima perlawanan mereka setakat ini.

Sementara itu, pemain pertahanan Jules Kounde berkata, Perancis perlu mengambil perhatian dengan permainan pantas Croatia.

"Croatia amat tersusun, dengan aturan pemain rapat antara satu sama lain dan mereka tidak membiarkan pemain menguasai bola terlalu lama.

"Mereka juga berlari amat pantas, jadi kami perlu bermain dengan beberapa sentuhan, menggerakkan bola dengan cepat dan cuba menyukarkan mereka dengan menghantar bola dari satu arah ke satu arah lain.

"Amat mengagumkan mereka hanya melepaskan satu gol setakat ini, apatah lagi mengambil kira pasukan yang mereka hadapi," tambahnya. –AFP

Media Baharu