OTTAWA, 12 September - Lima bekas pemain hoki ais Kanada dalam skuad remaja dunia 2018 akan terus digantung daripada menyertai perlawanan sehingga sekurang-kurangnya 1 Disember, biarpun mereka telah dibebaskan daripada tuduhan merogol seorang wanita di sebuah bilik hotel pada tahun tersebut.
National Hockey League (NHL) dalam kenyataannya menegaskan tindakan mereka 'jauh tersasar' daripada standard liga, walaupun mahkamah sebelum ini memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes.
Mereka yang terlibat ialah Dillon Dube, Cal Foote, Alex Formenton, Carter Hart dan Michael McLeod, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada pasukan Kanada yang memenangi pingat emas Kejohanan Dunia Remaja 2018.
Menurut NHL, kelima-lima pemain itu hanya layak menandatangani kontrak bermula 15 Oktober, tetapi hanya boleh kembali beraksi pada 1 Disember.
Kesemua mereka dibebaskan Julai lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Maria Carroccia memutuskan pihak pendakwaan gagal memenuhi beban pembuktian.
Liga berkenaan memulakan siasatan pihak ketiga pada Mei 2022 selepas mengetahui dakwaan tersebut. Siasatan itu melibatkan temu bual dengan setiap pemain pasukan 2018, pihak berkaitan lain, serta semakan ratusan dokumen, rakaman video dan mesej teks.
Empat daripada mereka masih aktif dalam NHL ketika didakwa awal 2024, namun telah bercuti daripada pasukan masing-masing. Formenton pula ketika itu beraksi secara profesional di Switzerland. Kesemua kontrak mereka kini telah tamat.
NHL turut mempertimbangkan keputusan mahkamah serta tempoh penggantungan yang telah dijalani sekitar 20 bulan sebelum mengenakan tindakan disiplin terbaharu. Menerusi sekatan itu, penggantungan mereka hampir mencecah dua tahun.
Persatuan Pemain NHL (NHLPA) dalam saru kenyataan menyambut baik keputusan berkenaan sambil memaklumkan satu penyelesaian bersama telah dicapai dengan pihak liga bagi mengelakkan kelewatan lanjut.-REUTERS