fb fb fb fb fb

Onana sertai Trabzonspor secara pinjaman

FOTO 'X' @Trabzonspor

MANCHESTER, 12 September - Penjaga gol Manchester United, Andre Onana, menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor secara pinjaman pada Khamis.

Perpindahan Onana sudah dijangka selepas United menandatangani Senne Lammens dari Royal Antwerp pada hari akhir jendela perpindahan minggu lalu dengan nilai £18.2 juta (pound).

Kehadiran Lammens menjadikan United memiliki empat penjaga gol. Walaupun kelab berkenaan menyatakan tiada masalah mengekalkan jumlah itu, masa depan Onana mula dipersoalkan berikutan prestasinya yang merudum.

Penjaga gol antarabangsa Turkiye, Altay Bayindir, diturunkan dalam ketiga-tiga aksi Liga Perdana musim ini, manakala Onana, 29, hanya beraksi sekali ketika United tewas mengejut dalam Piala Liga kepada kelab divisyen empat, Grimsby Town, menerusi penentuan penalti. Onana dipersalahkan atas dua gol yang dibolosi.

Onana menyertai United dari Inter Milan dengan nilai £47.2 juta pada 2023 dan pernah menjadi penjaga gol utama musim lalu. Namun, kecederaan hamstring menjejaskan persiapannya pada aksi pra-musim.

Jendela perpindahan Turkiye hanya ditutup pada Jumaat, dan terdapat jangkaan Onana bakal membuat penampilan sulung menentang Fenerbahce, Ahad ini.

Tom Heaton turut disenaraikan sebagai penjaga gol keempat United.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE