fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri jangan abai peruntukan untuk pembangunan sukan - Hannah

Kerajaan negeri dinasihatkan untuk tidak 'menganaktirikan' atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 19 April - Kerajaan negeri dinasihatkan untuk tidak 'menganaktirikan' atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pembangunan sukan memerlukan komitmen daripada kerajaan negeri dan peruntukan adalah satu pelaburan dalam melahirkan atlet.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri tidak melabur, negara akan kekurangan atlet pada masa hadapan.

Itu sebab untuk satu-satu sukan itu berjaya bukan sahaja penglibatan Majlis Sukan Negara (MSN) bila mereka sudah masuk Podium dan golongan elit tetapi peringkat akar umbi, penglibatan negeri itu sangat penting.

"Jadi saya minta semua Menteri Besar dalam perancangan untuk belanjawan pastikan portfolio ini jangan kita anak tirikan. Kalau kita lihat ada negeri-negeri kecil belanjawan mereka tidak sampai RM500,000 bagaimana hendak buat pembangunan atlet dan pembangunan sukan itu jika mereka tidak melabur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, di sini.

Tambah Hannah, sokongan dan pelaburan daripada kerajaan negeri dalam sektor sukan amat diperlukan bagi membantu KBS menjayakan setiap perancangan bagi memperkasakan sektor sukan serta atlet negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN