fb fb fb fb fb

Insentif baharu pelepasan cukai babitkan perbelanjaan yuran latihan sukan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

PUTRAJAYA, 19 April - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan insentif terbaharu pelepasan cukai membabitkan perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Inisiatif itu membolehkan pelepasan cukai yang terhad sehingga RM1,000 bermula tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata insentif itu merupakan perbelanjaan yang dibenarkan untuk kegunaan atau manfaat diri sendiri, suami, isteri atau anak.

Beliau berkata, antara pelepasan cukai itu adalah perbelanjaan yuran keahlian gimnasium, mengikuti latihan atau kelas e-sukan, ekuestrian, renang, sukan bermotor dan taekwondo.

"Mereka boleh gunakan pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang telah disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bermaksud sukan yang telah diwartakan ada 103 jenis sukan dan senarai sukan ini akan kita paparkan dalam laman sesawang KBS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, di sini, hari ini.

Hannah turut mengingatkan orang ramai untuk membuat semakan awal sama ada penyedia latihan sukan mematuhi syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN