KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa gambaran yang diberikan dalam keputusan FIFA adalah tidak tepat.
Dakwaan bahawa pemain memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
FAM dalam kenyataan menegaskan pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
"Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error), apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia," kata FAM dalam satu kenyataan
FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan tersebut dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih.