fb fb fb fb fb

Datuk Abdul Latif sasar lompatan sejauh 8 meter

Datuk Abdul Latif menetapkan lompatan sejauh 8 meter sebagai sasaran baharu/Foto Bernama.

SEPANG, 7 Oktober – Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly menetapkan lompatan sejauh 8 meter sebagai sasaran baharu.

Sasaran dibuat susulan kejayaannya memecahkan rekod dunia 7.67 meter kategori T20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi, India, baru-baru ini, sekali gus memadam rekod 7.64 meter yang dicatatkan pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Datuk Abdul Latif, 28, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik mengakui kejayaan terbaharu itu menjadi pembakar semangat untuknya untuk terus mengekalkan prestasi tertinggi, terutama menjelang Sukan Para Asia dan Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

“Pertama sekali saya rasa bersyukur Alhamdulillah sebab saya sudah dapat semula saya punya prestasi saya sebelum ini. Orang kata tahun ini adalah tahun untuk menebus kekecewaan tahun lepas.

"Saya rasa mungkin Insyaallah saya tidak akan mengambil masa yang lama (pecah rekod) sebab saya pun sudah berumur 28 tahun. Tambahan pula acara ini berisiko tinggi, mungkin tahun hadapan atau dua tahun lagi saya boleh capai sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Untuk rekod, Abdul Latif sebelum ini turut meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020, selain memegang beberapa rekod kebangsaan serta dunia dalam acara lompat jauh kategori T20.

JALALUDDIN BIN BAHARIN