SEPANG, 7 Oktober - Dokumen 19 muka surat yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaannya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merupakan perkara serius dan boleh menjejaskan imej negara
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan berdasarkan kenyataan FIFA dalam dokumen tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata kementeriannya kekal dengan pendirian sama iaitu menunggu sehingga proses rayuan berakhir sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
"FAM kena habiskan proses rayuan ini, lengkapkan proses rayuan ini sebelum apa-apa kenyataan khas yang kita nak umumkan kerana proses rayuan belum selesai.
“Selepas Grounds of Judgement, saya difahamkan FAM kena mengumumkan hasrat mereka untuk merayu dalam masa tiga hari dan kemudiannya lima hari untuk memfailkan rayuan mereka," ujar Hannah.
Hannah menyatakannya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga daripada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di KLIA di sini.
Sementara itu, Hannah menyeru peminat bola sepak tanah air meneruskan sokongan terhadap skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dalam dua perlawanan menentang Laos dalam saingan Kumpulan F.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan, FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.