fb fb fb fb fb

Kemelut rumah tangga tak jejas fokus Mickey

Mohamad Faisal Abdul Halim berada pada tahap terbaik dan bersedia menyahut panggilan negara. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 September - Pemain sayap Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim berada pada tahap terbaik dan bersedia menyahut panggilan negara, meskipun berdepan masalah rumah tangga.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski memberi jaminan masalah peribadi pemain Selangor FC itu sama sekali tidak akan menjejaskan komitmen serta prestasinya bersama skuad kebangsaan.

Beliau pada masa sama, menegaskan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Faisal.

“Dari sudut bola sepak, tiada kesan. Hal peribadi adalah urusan beliau dan keluarganya. Kami semua ada untuknya. Saya tahu Micky (Faisal) menjadi inspirasi kepada negara dan dia akan terus memainkan peranan itu.

“Faisal berada dalam keadaan cergas sepenuhnya, dan saya tahu dia sedang menguruskan hal peribadi dengan sokongan padu daripada kami,” katanya pada sidang media pra-perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan diturunkan menentang Singapura esok dan Palestin Isnin depan, Cklamovski berkata senarai kesebelasan utama hanya akan dimuktamadkan pada hari perlawanan.

“Anda akan lihat skuad beraksi esok menentang Singapura, tetapi dia tersedia sepenuhnya. Dia berlatih bersungguh-sungguh dan berada dalam mod persiapan penuh,” jelasnya.

JALALUDDIN BIN BAHARIN