fb fb fb fb fb

Harimau Malaya perlu atasi Singapura esok

Cklamovski menganggap dua perlawanan persahabatan tersebut amat penting dalam usaha mengekalkan momentum serta prestasi pemain. Foto FAM

KUALA LUMPUR, 3 September - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menggesa skuad Harimau Malaya beraksi pada tahap sebenar dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura dan Palestin.

Ini berikutan Malaysia sebelum ini terlepas peluang menyertai Kejohanan Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 di Tajikistan dan Uzbekistan susulan kekangan logistik serta ketiadaan beberapa pemain utama.

Sehubungan itu, jurulatih kelahiran Australia itu menganggap dua perlawanan persahabatan tersebut amat penting dalam usaha mengekalkan momentum serta prestasi pemain.

“Singapura sebuah pasukan yang baik dan kita perlu berada di tahap terbaik untuk mencapai keputusan yang diinginkan. Palestin pula lawan yang sukar, mereka berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Ia merupakan ujian berbeza dan bagus untuk kita.

“Kedua-dua perlawanan ini memberi peluang kepada kami untuk terus berkembang, menguji serta meningkatkan lagi corak permainan. Setiap jendela antarabangsa adalah ruang untuk memperbaiki permainan dan bekerja keras demi menjadi pasukan yang kita impikan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia dijadual menentang Singapura yang dibimbing Gavin Lee esok, sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin depan.

Cklamovski dalam pada itu menjangkakan cabaran sengit daripada Singapura, yang kini menghuni ranking ke-159 dunia.

“Kami menghormati mereka. Mereka mempunyai pemain berkualiti. Saya teruja dengan cabaran menanti. Mereka sudah bermain dengan gaya tertentu sejak setahun dua ini, dan saya jangkakan ia akan diteruskan.

“Saya juga menantikan peluang untuk menampilkan corak permainan kita sendiri, mencipta ruang serta peluang yang boleh digunakan untuk menewaskan mereka… dan menjaringkan gol.

"Ini cabaran bola sepak yang baik, satu ujian penting untuk membantu perkembangan pasukan,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu.

Sementara itu, ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools bertekad untuk menterjemahkan pengalaman beraksi dalam saingan liga utama Jepun bersama skuad kebangsaan.

Pemain berusia 29 tahun itu yang baru menyertai kelab J-League, Cerezo Osaka, percaya penyertaannya dalam salah satu liga terkuat di Asia memberi kelebihan yang boleh dimanfaatkan pasukan negara.

“Saya rasa Liga Jepun adalah antara yang terbaik di Asia. Bagi saya, dapat beraksi setiap minggu di sana memberikan pengalaman yang mungkin tidak dimiliki pemain lain. Saya harap dapat menampilkannya di atas padang dan membantu pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, dalam lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Malaysia hanya mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan kepada Singapura.

 

JALALUDDIN BIN BAHARIN