PUTRAJAYA, 23 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan isu ganjaran tertunggak atlet para negara selepas Sukan Paralimpik Paris 2024 akhirnya selesai sepenuhnya menerusi penyaluran insentif tambahan oleh syarikat runcit 99 Speed Mart.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, penajaan khas itu membuktikan solidariti sektor swasta dalam meraikan kejayaan atlet para yang telah membawa pulang pingat ke tanah air.
“Hari ini kita mengadakan sidang media untuk mengumumkan bahawa 99 Speed Mart telah serahkan ganjaran tambahan kepada atlet Paralimpik dan KBS menghargai solidariti sektor swasta.
"Saya merakamkan penghargaan kepada 99 Speed Mart Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Encik Yong, CEO 99 Speed Mart kerana tampil sebagai penaja khas dengan menyerahkan ganjaran top up tunai secara langsung kepada atlet Paralimpik Malaysia yang berjaya di Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya.
Menurut Hannah, syarikat berkenaan menyalurkan sejumlah RM107,000, termasuk RM35,000 untuk pemenang pingat emas, RM15,000 (perak) dan RM7,000 (gangsa) kepada lima atlet negara sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka.
Antara penerima insentif tersebut ialah Cheah Liek Hou (emas), Bonnie Bunyau Gustin (emas), Abdul Latif Romly (perak), Ziyad Zolkefli (perak) dan Eddie Bernard (gangsa). Semua bayaran telahpun disalurkan pada Isnin.
“Sebaik tiba di tanah air, Liek Hou terus memaklumkan bahawa ganjaran sudah pun dimasukkan ke dalam akaun. Sebelum ini, timbul polemik membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia dan Liek Hou susulan perbezaan tafsiran berhubung ganjaran kemenangan pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024. KBS menghargai usaha ini kerana bukan sahaja meraikan kejayaan atlet, malah turut membuktikan sumbangan mereka sentiasa dihargai,” jelasnya.
Tambah Hannah, pendekatan telus seperti diamalkan menerusi program Road to Gold (RTG) akan terus diperkukuh bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus sukan negara.
“Tambahan ‘top up’ yang disalurkan oleh 99 Speed Mart membolehkan KBS menganggap isu ini selesai. Saya mahu atlet kita kembali fokus kepada pertandingan. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku memandangkan sudah setahun berlalu selepas Paralimpik,” tegasnya.