fb fb fb fb fb

Hakim Danish sasar slot Moto3 MotoGP selepas tamat aksi Rookies Cup

Hakim Danish Ramli ditemui pemberita sebaik tiba di KLIA hari ini

SEPANG, 23 September - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli kini memberi tumpuan penuh untuk menempatkan diri dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 selepas menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di kedudukan ketiga keseluruhan.

Hala tuju kariernya diserahkan sepenuhnya kepada pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang menguruskan kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Hakim, 18, mengakui belum mempunyai perancangan kedua sekiranya tidak memperoleh slot ke Moto3 musim depan, namun menegaskan beliau bersedia mengikut apa sahaja keputusan pengurusnya.

“Semestinya saya mahu ke kejohanan dunia, namun saya perlu menilai prestasi diri terlebih dahulu. Semua keputusan saya serahkan kepada Abang Fahmi selaku pengurus, dan saya akan ikut apa sahaja yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hakim menamatkan penyertaan di RBMRC selepas mencapai had maksimum tiga tahun. Pencapaian tempat ketiga keseluruhan dianggap terbaik sepanjang penglibatannya di pentas Eropah.

Anak jati Terengganu itu menegaskan peluang beraksi di Moto3 akan dijadikan batu loncatan untuk membina kerjaya jangka panjang termasuk merealisasikan impian ke MotoGP.

“Kalau diberikan peluang beraksi dalam Moto3, saya mahu kekal lama di kejohanan dunia. Bukan sekadar berhenti di Moto3, tetapi terus ke peringkat lebih tinggi sehingga ke MotoGP. Itu impian saya dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Hakim optimis mampu bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam kelas Moto3 dan yakin pengalaman di Rookies Cup akan membantunya lebih matang, meskipun masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan.

Semangat dan tekad Hakim menjadikannya antara prospek terbaik negara untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas perlumbaan motosikal paling berprestij dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE