SEPANG, 23 September - Harapan untuk melihat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mewarnai pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan bergantung kepada sokongan padu pelbagai pihak, khususnya dalam aspek kewangan.
Meski menutup kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di tangga ketiga keseluruhan, Hakim masih berdepan cabaran besar untuk memastikan peluang beraksi sepenuh musim di kelas dunia itu menjadi kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, bakat dimiliki Hakim bukan sahaja membanggakan Malaysia, malah membuktikan program pembangunan pelumba muda negara berada di landasan tepat.
“Hakim Danish dan Qabil Irfan antara contoh pelumba generasi baharu yang sudah mula mencuri perhatian. Cuma, kita perlu pastikan mereka mendapat platform dan dana mencukupi untuk terus berkembang,” katanya.
Pelumba berusia18 tahun itu, sebelum ini melonjakkan prestasi dari tahun ke tahun di RBMRC daripada kedudukan ke-12 pada musim pertama, ke-6 pada musim kedua, sebelum menamatkan musim ini dalam kelompok tiga terbaik.
Selain itu, penyertaannya dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) turut menambah pengalaman berharga, dengan kini menghuni tangga kesembilan keseluruhan menjelang dua baki perlumbaan.
Beliau optimis, sekiranya Hakim terus konsisten dan berjaya menaiki podium dalam baki saingan JrGP, peluang untuk menembusi pentas Moto3 secara sepenuh musim akan semakin cerah.