fb fb fb fb fb

Dembele menangis ketika dinobat Pemain Terbaik Dunia Ballon d’Or

Dembele sebak ketika namanya diumum sebagai Pemain Terbaik Dunia Ballon d’Or/ REUTERS

PARIS, 23 September - Penyerang antarabangsa Perancis, Ousmane Dembele dari Paris Saint-Germain (PSG) berkata memenangi Ballon d’Or tidak pernah menjadi matlamat peribadinya, namun mengakui tidak mampu menahan air mata apabila bercakap tentang keluarganya selepas diumumkan sebagai Pemain Terbaik Dunia pada Isnin.

Dembele menjadi pemain Perancis pertama sejak Karim Benzema pada 2022 yang merangkul anugerah berprestij tersebut selepas membantu PSG menjuarai Liga Juara Eropah buat kali pertama musim lalu.

“Saya tidak mahu menangis, tetapi sebaik sahaja saya mula bercakap mengenai keluarga saya, tentang orang yang sentiasa ada bersama saya, perasaan itu datang dan saya tidak dapat menahannya,” katanya kepada Reuters selepas mengetepikan penyerang Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal untuk trofi tersebut.

Kemenangan di Ballon d’Or hanyalah sebahagian daripada kejayaan besar PSG, yang musim lalu memenangi tiga piala utama iaitu Liga Juara-Juara, Ligue 1 dan Piala Perancis selain menjulang Piala Super UEFA tahun ini.

Sementara itu, pemain tengah Barcelona dan antarabangsa Sepanyol, Aitana Bonmati memenangi Ballon d’Or Wanita buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain berusia 27 tahun itu membantu kelabnya memenangi gelaran berganda liga dan piala musim lalu, selain muncul naib juara Liga Juara-Juara Wanita menentang Arsenal, di mana beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Bonmati juga merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang tewas kepada England melalui penentuan penalti pada Final Euro Wanita.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE