fb fb fb fb fb

Isu bonus Paralimpik jadi iktibar, garis panduan insentif perlu lebih jelas

Atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou

PUTRAJAYA, 23 September - Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou menyifatkan penyelesaian isu insentif kemenangan yang tertangguh selepas Sukan Paralimpik Paris 2024 sebagai satu teladan penting agar perkara sama tidak berulang pada masa depan.

Atlet berusia 36 tahun itu menegaskan perjalanan karier seorang atlet tidak lama, justeru sokongan dalam bentuk ganjaran dan bonus daripada kerajaan mahu pun syarikat swasta amat diperlukan bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

“Sudah tentu sebagai seorang atlet semua orang tahu bahawa perjalanan kami untuk mewakili Malaysia tidak lama. Mungkin beberapa tahun lagi saya akan bersara.

"Jadi kami juga berharap semua bonus dan insentif sama ada daripada kerajaan atau syarikat-syarikat lain benar-benar dapat menyokong kami sebagai atlet. Harapnya isu ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Liek Hou berkata langkah KBS yang menekankan keperluan garis panduan lebih jelas serta perjanjian bersama pihak penaja wajar dijadikan contoh untuk memastikan ketelusan pada masa depan.

“Seperti yang menteri sebut kepada semua majlis, kita perlu ikut 'template' dan ada perjanjian dengan semua syarikat. Saya rasa ini contoh yang baik untuk diikuti. Memandangkan Menteri Belia dan Sukan sendiri sudah nyatakan perkara ini, saya harap isu sebegini tidak akan timbul lagi selepas ini,” katanya.

Kontroversi mengenai ganjaran itu tercetus apabila Liek Hou meluahkan rasa kecewa di media sosial selepas mendakwa Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) gagal menunaikan janji insentif bernilai RM60,000.

Dalam perkembangan yang sama, Liek Hou menjelaskan beliau telah menerima keseluruhan RM25,000 daripada MPM sejak April lalu, manakala baki RM35,000 pula disalurkan terus oleh penaja baharu, 99 Speed Mart.

Tajaan tersebut diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sidang media yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.

Selain Liek Hou yang meraih emas dalam acara perseorangan lelaki kategori SU5, pemenang emas powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin turut menerima jumlah sama, manakala atlet olahraga Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli turut diberi penghargaan sewajarnya.

Sebagai atlet senior, Liek Hou turut menyifatkan suara beliau bukan sahaja bagi mempertahankan hak buat dirinya malah termasuk rakan seperjuangan lain dan atlet muda.

“Kalau saya tidak bersuara, mungkin adik-adik atau atlet para yang akan datang akan berdepan isu sama berulang kali. Jadi saya akan cuba yang terbaik untuk mewakili semua atlet para bagi menyuarakan dan menyelesaikan masalah,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE