AGADIR, 21 Disember - Mohamed Salah tidak menunjukkan sebarang tanda terganggu dengan ketidaktentuan yang menyelubungi masa depannya bersama Liverpool ketika dia bersiap sedia mengetuai Mesir dalam saingan Piala Negara Afrika (AFCON).
Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan berkata, semangat Salah dalam latihan sangat tinggi, seolah-olah dia baharu menyertai pasukan kebangsaan.
"Saya percaya dia akan mengharungi kejohanan yang hebat bersama negaranya," kata Hassan kepada wartawan menjelang perlawanan pembukaan AFCON, Mesir menentang Zimbabwe di Agadir pada awal pagi Selasa.
Menurut Hassan, beliau merasakan motivasi Salah sangat kuat.
"Salah adalah ikon dan akan kekal begitu. Dia antara pemain terbaik dunia dan saya menyokongnya dalam apa jua yang dilakukannya," tambah Hassan.
Salah tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi lima perlawanan terakhir Liverpool sebelum berlepas ke Maghribi.
Situasi memuncak selepas keputusan seri Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United baru-baru ini apabila dia mendakwa telah "dikorbankan" oleh jurulatihnya di Anfield, Arne Slot.
Kenyataan tersebut mencetuskan spekulasi bahawa perpindahannya daripada kelab yang menjuarai Liga Perdana Inggeris itu pada jendela perpindahan Januari bakal menjadi kenyataan.
"Saya tidak menganggap apa yang berlaku kepadanya sebagai satu krisis. Perkara sebegini sering berlaku antara pemain dengan jurulatih," kata Hassan lagi.
Salah, 33 tahun berhasrat memimpin Mesir merangkul gelaran AFCON kelapan di Maghribi. -AFP