BARCELONA, 21 Disember - Pemain pertahanan Barcelona, Andreas Christensen tidak dapat beraksi selama beberapa bulan, selepas disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut.
"Christensen mengalami koyakan pada Ligamen Krusiata Anterior (ACL) di lutut kiri semasa sesi latihan pada Sabtu," menurut pendahulu La Liga, Barcelona dalam satu kenyataan.
Kelab gergasi Catalan itu memaklumkan, Christensen akan menjalani rawatan secara konservatif, manakala media Sepanyol melaporkan pemain berusia 29 tahun itu akan diketepikan selama empat bulan.
Dia dijangka terlepas perlawanan play-off Piala Dunia 2026, Denmark menentang Macedonia Utara pada bulan Mac.
Christensen yang menyertai Barca daripada Chelsea pada 2022 sering bergelut dengan kecederaan sepanjang bersama kelab berkenaan.
Kontrak pemain pertahanan Denmark itu di Camp Nou akan berakhir pada Jun 2026. -AFP