KUCHING, 21 Disember - Kejayaan atlet kelahiran Sarawak pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 mencerminkan peningkatan prestasi serta keupayaan mereka untuk bersaing di pentas serantau.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman yakin ia akan menjadi pencetus semangat kepada atlet lain yang mewakili negara.
"Sudah tentu kami berasa amat bangga. Saya berharap dan yakin kejayaan ini bukan sahaja memberi semangat dalam sukan, tetapi juga menunjukkan bahawa Sarawak mampu mencapainya. Kejayaan ini boleh menjadi contoh positif kepada atlet muda yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutupan Sukan SEA Thailand 2025 di Sarawak Sports Village, di sini malam tadi.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kira-kira 500 penonton yang menyaksikan detik Malaysia menerima Bendera Persekutuan Sukan SEA selaku tuan rumah temasya pada 2027 kelak.
Pada edisi kali ini, seramai 53 atlet Sarawak yang mewakili negara berjaya menyumbangkan 11 pingat emas, lapan perak dan 20 gangsa.