RABAT, 22 Disember - Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata beliau akan terus berhati-hati terhadap penggunaan bintang pasukan, Achraf Hakimi, pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika pertahanan Paris Saint-Germain itu masih dalam proses pemulihan kecederaan buku lali.
Regragui sebelum ini memberi bayangan Hakimi sudah cergas menjelang aksi pembukaan menentang Comoros, namun kapten Maghribi itu tidak diturunkan dalam kemenangan 2-0 di Rabat, Ahad.
Hakimi tidak beraksi sejak mengalami kecederaan buku lali ketika bersama PSG menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara pada 4 November lalu, dengan Noussair Mazraoui dari Manchester United diturunkan sebagai bek kanan dalam perlawanan itu.
“Kami memerlukan Hakimi kerana dia pemain terbaik di Afrika dan antara yang terbaik di dunia, dan tiada pasukan mampu kehilangan pemain terbaik mereka. Namun Mazraoui juga pemain yang hebat.
“Kami tidak mahu mengambil risiko terhadap Achraf. Kami sangat berhati-hati dengannya dan akan menilai keadaannya dalam tempoh 48 jam akan datang untuk melihat sama ada dia boleh diturunkan menentang Mali.
“Kami yakin dia akan beraksi sepanjang AFCON dan kami menunggu dengan sabar,” kata Regragui.
Maghribi membuka kempen AFCON dengan kemenangan hasil jaringan Brahim Diaz dan Ayoub El Kaabi, sekali gus melanjutkan rekod kemenangan berturut-turut kepada 19 perlawanan.
Keputusan itu melanjutkan rekod kemenangan dunia Maghribi kepada 19 perlawanan berturut-turut, sekali gus memberikan permulaan positif menjelang aksi seterusnya menentang Mali di Rabat, Jumaat ini.
Regragui berkata kemenangan itu permulaan positif, namun mengakui perlawanan menentang Mali bakal menjadi ujian lebih getir.
“Mali akan menjadi lawan berbeza. Mereka mempunyai ramai pemain bertaraf tinggi dan mungkin kami akan kurang menguasai bola, jadi ia akan menjadi ujian sebenar buat kedua-dua pasukan,” tambahnya.-AFP