fb fb fb fb fb

Piala Negara Afrika: Fokus Salah tidak terjejas

Penyerang Mesir, Mohamed Salah / REUTERS

AGADIR, 22 Disember - Di sebalik ketidaktentuan masa depannya bersama Liverpool, penyerang Mesir, Mohamed Salah kini fokus terhadap persiapan negara itu dalam usaha memenangi Piala Negara Afrika, kata jurulatih Hossam Hassan pada Ahad.

“Semangat Salah dalam latihan sangat tinggi, seolah-olah dia baru sahaja memulakan karier bersama pasukan kebangsaan, dan saya percaya dia akan mengharungi kejohanan yang hebat bersama negaranya,” kata Hossam kepada wartawan menjelang perlawanan pembukaan AFCON Mesir menentang Zimbabwe di Agadir pada Isnin.

“Saya merasakan motivasinya sangat, sangat kuat. Salah adalah seorang ikon dan akan terus kekal begitu. Dia antara pemain terbaik dunia dan saya menyokongnya dalam apa jua yang dilakukannya,” tambah Hassan.

Salah tidak diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir Liverpool sebelum berangkat ke Piala Negara Afrika di Maghribi.

Keadaan menjadi tegang susulan keputusan seri Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United baru-baru ini apabila beliau mendakwa telah “dikorbankan” oleh pengurusnya di Anfield, Arne Slot.

Kenyataan itu mencetuskan spekulasi bahawa perpindahannya daripada juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu pada jendela perpindahan Januari adalah satu kemungkinan nyata.

“Saya tidak menganggap apa yang berlaku kepadanya sebagai satu krisis. Perkara sebegini sering berlaku antara pemain dan jurulatih,” tambah Hossam.

“Kami telah berhubung dengannya melalui telefon sejak awal, dan saya juga bertemu dengannya ketika dia menyertai kem latihan pasukan kebangsaan. Tumpuannya sepenuhnya adalah kepada kejohanan ini", ujar Hossam

Salah, 33, menyasarkan untuk mengetuai Mesir meraih gelaran AFCON kelapan yang bakal menjadi rekod baharu di Maghribi.

Beliau belum pernah memenangi kejuaraan itu, namun pernah tewas di pentas akhir kepada Cameroon pada 2017 dan Senegal pada 2022.

Jaringannya pada tahun ini juga telah membantu Mesir layak ke Piala Dunia.

“Setiap kali prestasi Salah menurun bersama kelabnya, dia akan kembali menemui kekuatannya bersama pasukan kebangsaan dan menjadi lebih baik, sama ada dengan mencipta gol atau menjaringkan gol sendiri. Selepas itu, dia akan kembali ke kelabnya dengan lebih kuat,” kata Hassan lagi.

“Dia perlu memenangi piala ini dengan membantu kami dan juga membantu dirinya sendiri.", tambahnya.

Mesir turut akan menentang Afrika Selatan dan Angola dalam Kumpulan B Piala Negara Afrika, dengan kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung di Agadir. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD