fb fb fb fb fb

La Liga: Atletico Madrid tekan Barcelona

FOTO AFP

GIRONA, 22 Disember - Atletico Madrid melonjak ke tangga ketiga La Liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Girona dalam aksi yang berlangsung di Stadium Montilivi pada Ahad.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Diego Simeone memintas Villarreal di tempat keempat dan merapatkan jurang kepada enam mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Pada perlawanan berkenaan, Atletico membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh menarik oleh ketua pasukan, Koke, sebelum Conor Gallagher menggandakan kelebihan hasil percubaan yang membias pemain lawan.

Antoine Griezmann melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada lewat perlawanan.

“Saya bangga dengan usaha yang kami pamerkan hari ini. Pasukan sedang melangkah ke hadapan dan melakukan perkara yang perlu kami lakukan,” kata Koke kepada Movistar.

Gol pembukaan Atletico hadir apabila bola muntah jatuh ke kaki Koke di luar kotak penalti sebelum beliau melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gol, sekali gus menyaksikan jaringan ke-50 beliau bersama kelab itu.

“Saya tidak banyak melakukan percubaan kerana lebih gemar mencipta peluang, tetapi apabila bola berada dalam posisi begitu, saya hanya memikirkan untuk merembat dan nasib baik ia masuk,” katanya.

Girona hampir menyamakan kedudukan, namun dinafikan oleh aksi cemerlang penjaga gol Atletico, Jan Oblak, yang menepis percubaan jarak dekat Axel Witsel.

Oblak sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan Alex Moreno kira-kira 15 minit sebelum tamat perlawanan.

Bekas pemain tengah Chelsea, Gallagher, menambah jaringan kedua Atletico sebelum rehat selepas percubaannya terkena pertahanan Girona, Vitor Reis, sebelum bergolek masuk ke dalam pintu gol Girona

Penyerang Aintoine Griezmann yang masuk sebagai pemain gantian sekali lagi membuktikan impaknya dengan memastikan kemenangan Atletico di penghujung perlawanan. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD