fb fb fb fb fb

Barcelona gah di puncak La Liga

FOTO AFP

VILA-REAL, 22 Disember - Barcelona mengukuhkan kedudukan di puncak La Liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Villarreal yang beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan di Estadio de la Ceramica pada Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Hansi Flick meraih kemenangan liga kelapan berturut-turut dan kembali meninggalkan Real Madrid di tangga kedua.

Pemain sayap, Raphinha dan Lamine Yamal, muncul wira apabila masing-masing menyumbang satu gol untuk memastikan tiga mata penuh milik pasukan Catalan.

Raphinha membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Santi Comesana.

Pemain antarabangsa Brazil itu hampir menggandakan kelebihan menerusi rembatan jarak jauh yang menggegarkan palang gol.

Momentum perlawanan berubah sebelum rehat apabila pertahanan Villarreal, Renato Veiga, dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Yamal, memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain.

Barcelona kemudiannya menambah jaringan kedua pada minit ke-63 menerusi Lamine Yamal yang menyudahkan hantaran Frenkie de Jong.

“Kami gembira kerana menamatkan tahun ini sebagai pendahulu liga, itu memang objektif kami,” kata De Jong kepada DAZN.

“Villarreal mempunyai pemain pantas dan kami perlu menguruskannya dengan lebih baik, tetapi saya rasa kami lebih baik dan kemenangan ini memang wajar", ujar beliau.

Meskipun Barcelona kelihatan goyah di bahagian pertahanan, aksi cemerlang penjaga gol Joan Garcia yang melakukan beberapa penyelamatan penting berjaya memastikan rekod tanpa bolos Barcelona buat kali ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

Sementara itu, kekalahan kepada Barcelona merupakan yang pertama buat Villareal di laman sendiri musim ini sekali gus menyaksikan mereka kini ketinggalan 11 mata di belakang Barcelona, biarpun masih memiliki dua perlawanan dalam tangan.

“Kami kecewa dengan keputusan ini, kekalahan pertama di laman sendiri sebelum cuti,” kata pemain tengah Villarreal, Dani Parejo.

“Namun kami berbangga dengan usaha pasukan dan cara kami menghadapi perlawanan ini. Kami mempunyai banyak peluang dan sebenarnya boleh mendahului pada separuh masa pertama", ujarnya. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD