fb fb fb fb fb

Liga Scotland: Celtic akhiri badi kekalahan

Kelab Celtic/AFP

GLASGOW, 22 Disember - Celtic akhirnya menamatkan permulaan sukar di bawah kendalian Wilfried Nancy apabila mencatat kemenangan dramatik 3-1 ke atas Aberdeen yang beraksi dengan 10 pemain, menerusi dua gol lewat perlawanan.

Kemenangan itu menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut sejak Nancy mengambil alih tugas sebagai pengurus dan mengakhiri kemerosotan terburuk Celtic sejak 1978.

Bagaimanapun, juara bertahan itu masih ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Hearts, meskipun mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Benjamin Nygren membuka jaringan hasil hantaran Daizen Maeda sebelum Aberdeen kehilangan Dylan Lobban yang dilayangkan kad merah kerana menghalang kekasaran sejurus sebelum separuh masa pertama.

Celtic mendominasi perlawanan dengan lima percubaan mengenai palang dan tiang gol namun hampir dikecewakan apabila Kenan Bilalovic menyamakan kedudukan 16 minit sebelum tamat perlawanan.

Dua jaringan masing-masing menerusi tandukan Kieran Tierney pada minit ke-88 dan James Forrest pada masa kecederaan memastikan tiga mata penuh milik Celtic.

“Saya gembira untuk pemain, penyokong dan kelab. Kami layak mendapat kemenangan ini dan saya dapat melihat peningkatan setiap perlawanan,” kata Nancy selepas perlawanan.

Sementara itu, pendahulu Liga Scotland, Hearts semakin mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menewaskan Rangers 2- 1 untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Pasukan kendalian Derek McInnes kini memenangi semua empat pertemuan musim ini menentang Celtic dan Rangers, sekali gus bakal mencipta sejarah sebagai pasukan pertama luar Glasgow menjuarai liga sejak Aberdeen melakukannya pada 1985. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD