KUALA LUMPUR, 27 September - Semua dokumentasi dan prosedur berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan untuk mewakili Harimau Malaya telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan terlibat.
Mengesahkan perkara itu Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
“Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi mewakili Malaysia.
“Sehubungan itu, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dengan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain dan pasukan kebangsaan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi membolehkan mereka berkenaan diturunkan pada perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Berikutan aduan rasmi diterima selepas perlawanan itu, FAM dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda kira-kira RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.