BARCELONA, 27 Sept- Barcelona menerima tamparan berganda apabila pemain sayap Raphinha dan penjaga gol Joan Garcia menjadi pemain terbaharu pasukan itu yang berdepan kecederaan.
Kedua-dua pemain tersebut diketepikan daripada perlawanan akan datang termasuk pertembungan Liga Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG), minggu depan.
Menurut kenyataan kelab, pemain antarabangsa Brazil, Raphinha dijangka terlepas tiga minggu kerana kecederaan hamstring yang dialami ketika Juara Sepanyol itu menang 3-1 menentang Real Oviedo dalam aksi La Liga, Khamis lalu.
Penjaga gol Sepanyol, Garcia pula mengalami kecederaan meniskus di lutut kirinya dan akan terlepas antara empat hingga enam minggu.
Garcia akan digantikan dengan pemain veteran Poland, Wojciech Szczesny.
Raphinha perlu kembali untuk pertembungan Barcelona dengan musuh tradisi, Real Madrid pada 26 Oktober, tetapi Garcia hanya akan dapat kembali jika kecederaannya pulih pada penghujung jadual pemulihan.
Skuad Catalan bagaimanapun sedikit lega apabila pemain sayap sensasi, Lamine Yamal dijangka kembali untuk perlawanan liga menentang Real Sociedad, Ahad ini setelah diketepikan akibat kecederaan pangkal paha.
"Hei! Saya kembali," tulis bintang remaja itu dalam catatan di Instagram, merujuk kepada kembalinya beliau selepas terlepas empat perlawanan terakhir pasukan.
Barcelona kini mengekori pendahulu La Liga, Real Madrid dengan perbezaan dua mata dan membuka kempen Liga Juara Eropah dengan kemenangan 2-1 berdepan Newcastle. -AFP