RIO DE JANEIRO, 22 November- Argentina membuktikan statusnya sebagai juara dunia apabila menumpaskan Brazil 1-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang dicemari dengan kekacauan penonton sehingga menyebabkan sepak mula perlawanan terpaksa ditangguhkan.
Tandukan daripada pemain pertahanan veteran Argentina, Nicolas Otamendi sudah cukup buat pasukan tersebut meraih kemenangan selepas tewas kepada Uruguay minggu lalu.
Kemenangan di stadium ikonik, Maracana menjadikan Argentina kini di persada liga kumpulan dengan 15 mata selepas enam perlawanan.
Brazil pula menduduki tangga keenam dengan tujuh mata selepas tewas buat kali ketiga.
Sementara itu, suasana di Stadium Maracana bertukar kacau-bilau sebelum sepak mula apabila polis Brazil dilihat menggunakan kayu belantan bagi menghalau sekumpulan penyokong Argentina di kawasan tempat duduk penonton.
Keadaan tersebut menyebabkan penjaga gol Argentina, Emi Martinez memasuki tempat duduk penonton bagi mententeramkan keadaan.
Barisan pemain Argentina yang diketuai Lionel Messi kemudiannya dilihat meninggalkan padang dan kembali ke bilik persalinan dan mengancam untuk tidak memulakan perlawanan dan berhasrat meninggalkan stadium.
Namun, skuad Juara Piala Dunia 2022 itu kembali ke padang sebelum jam 10 waktu tempatan bagi memulakan perlawanan.-AFP