KUALA LUMPUR, 22 November- Pelumba cilik negara yang layak ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 telah mempamerkan aksi positif pada sesi latihan bebas di Litar Kart Ricardo Tarmo, Valencia, Sepanyol semalam.
Paling menonjol adalah pelumba berusia 11 tahun, Qabil Irfan Azlan yang berjaya menduduki tempat kelima secara keseluruhan bagi kategori 160cc dengan catatan masa terbaiknya, 44.741 saat (s) bagi latihan bebas ketiga.
Pelumba berasal dari Kuala Terengganu itu pernah muncul juara MiniGP Malaysia 2023 dan diletakkan sebagai harapan untuk menyerlah pada penyertaan FIM MiniGP kali ini.
Seorang lagi pelumba bagi kategori itu, Muhammad Airel Ahmad Marzuki menamatkan sesi latihan pada kedudukan ke-16 dengan catatan 45.333s, manakala wakil Jerman, Fynn Kratochwil mencatatkan masa terpantas dengan catatan 44.576s.
Sementara itu, bagi saingan 190cc, Muhammad Farish Hafiy, 15, turut mempamerkan aksi cemerlang apabila berada di kedudukan kelapan selepas merekodkan 43.162s dengan pelumba tuan rumah, Alvaro Lucas mengungguli sesi berkenaan dengan catatan 42.402s.
Dua lagi wakil negara bagi kategori 190cc, Adi Putra Adi Anahar (43.643s) dan Emil Idzhar Ezuan (44.126s) masing-masing menamatkan sesi itu di kedudukan ke-15 dan 18.
Saingan kali ini disertai oleh 55 pelumba mewakili 18 buah negara dengan 34 daripadanya bersaing dalam kategori 160cc manakala 21 lagi dalam kategori 190cc.- BERNAMA