fb fb fb fb fb

10 pasukan dapat lesen beraksi di Liga Super musim depan kecuali Kelantan FC

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif

KELANA JAYA, 22 November- Sebanyak 10 pasukan telah diberikan lesen kebangsaan musim depan 2024/2025 untuk kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan antara pasukan yang telah berjaya ialah Johor Darul Ta'zim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC (TFC), Penang FC dan Kuching City FC.

Tiga lagi pasukan diberikan lesen kebangsaan namun dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan dalam menyediakan notis deklarasi kepada First Instance Body (FIB).

"Bagaimanapun tiga kelab yang lain juga telah diberikan lesen kebangsaan beserta hukuman iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC.

"Hukuman yang telah dikenakan adalah denda sejumlah RM20,000 dalam kesalahan menyediakan notis ataupun surat deklarasi kepada FIB,"katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam satu sidang media khas berkenaan keputusan perlesenan kelab liga super dan kelab AFL M3.

Tambah beliau lagi lesen kebangsaan hanya sah untuk musim 2024 dan 2025 dan pasukan perlu mematuhi enam kriteria utama.

Antaranya sukan, infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan seperti dinyatakan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Sementara itu Kelantan FC menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum mendapat lesen kebangsaan bagi musim 2024/25 .

Jelas Sheikh Mohd Nasir keputusan untuk pemberian lesen kebangsaan kepada skuad The Red Warriors (TRW) itu ditangguhkan sehingga Disember 2023 sekali gus memberi peluang mereka menyelesaikan langkah sepatutnya.

Tambah beliau lagi FIB hanya menerima rayuan untuk lanjutan mata daripada Kelantan FC dan mereka dikenakan hukuman denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB dan diberi peluang sehingga 30 November.

Selain itu juga pasukan berkenaan perlu menyelesaikan isu kedua mereka yang membabitkan kes di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum 31 Disember ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE