fb fb fb fb fb

Kekalahan kepada Bahrain, penilaian akan dilakukan segera - Kim Pan Gon

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon enggan menyalahkan tindakan terburu-buru penjaga gol, Mohd Farizal Marlias sebagai punca utama Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E semalam.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu bertegas segala perkara yang terjadi dalam aksi itu akan dinilai oleh pasukannya sebelum membuat sebarang keputusan dan kenyataan.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, kesilapan Mohd Farizal yang menjatuhkan pemain Bahrain dalam kotak penalti 10 minit sebelum tamat permainan telah memusnahkan harapan skuad negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Pan Gon berkata apa yang berlaku dalam aksi itu akan dinilai oleh pasukan bimbingannya sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Saya tidak akan mengulas mengenai perkara peribadi ini, semua akan dianalisis dan dibuat keputusan oleh pasukan kejurulatihan kami," kata Pan Gon dalam sidang media selepas perlawanan.


(Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon/FAM)

Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 63,000 penonton, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-55 sebelum Ali Abdulla Haram menyamakan kedudukan untuk Bahrain dua minit kemudian.

"Bagi saya, tiada apa yang ingin dirungutkan. Pemain telah berusaha sedaya upaya. Kita tidak boleh mencipta kejayaan besar hanya dalam tempoh beberapa hari. Kami terus belajar dari kesilapan. Kami sudah bertambah baik. Apa yang pasti kita tidak boleh terlepas peluang untuk ke pusingan akhir. Saya pasti pemain tahu betapa pentingnya situasi dalam tempoh beberapa hari ini," tambah Pan Gon.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara berdepan perlawanan 'wajib menang' ke atas Bangladesh pada aksi terakhir Selasa ini bagi mencerahkan peluang menamatkan penantian 15 tahun ke pusingan akhir Piala Asia.

Sementara itu, bagi pengendali Bahrain, Helio Filipe Sousa, beliau gembira pasukannya berjaya mengatasi tekanan dan keadaan padang untuk mengutip tiga mata berharga pada perlawanan tersebut.

"Saya amat berterima kasih kepada pemain-pemain saya, mereka hebat, sukar dibayangkan mereka amat bersemangat dan komited kepada negara mereka. Apa yang mereka persembahkan adalah luar biasa. Mereka tidak pernah bermain seperti ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun lalu," kata Filipe Sousa dalam sidang media tersebut.


(Ketua jurulatih Bahrain, Helio Filipe Sousa/FAM)

Media Baharu