KUALA LUMPUR, 2 Jun- Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress Bawah 19 Tahun, Cameron Ng, kekal positif walaupun hanya mempunyai tempoh persiapan yang singkat menjelang Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 yang bakal bermula minggu hadapan.
Skuad muda wanita negara memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad dengan kehadiran 27 pemain.
Namun, mereka hanya mempunyai enam hari latihan sebelum kejohanan bermula.
“Untuk persiapan kali ini, memang tempohnya sangat singkat, tak sampai seminggu, cuma enam hari sahaja.
"Tapi satu kelebihan yang kami ada ialah kebanyakan pemain sedang beraksi dalam liga negeri," jelas Cameron ketika ditemui selepas sesi latihan pertama.
“Sekurang-kurangnya mereka sudah ada tahap kecergasan, jadi saya tak perlu terlalu fokus kepada aspek kecergasan fizikal,” tambahnya.
Menurut Cameron, keutamaannya ketika ini adalah untuk membentuk keserasian antara pemain, yang dianggap sebagai faktor penentu dalam kejohanan serantau itu.
“Sebaliknya, dalam tempoh enam hari ini, fokus utama kami adalah untuk membina keserasian dalam pasukan, dan itulah cabaran terbesar buat kami,” katanya.
Skuad Malayan Tigress B-19 dijadual memulakan kempen Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 dengan aksi pembukaan menentang Kemboja pada Isnin, 9 Jun, diikuti Thailand pada 11 Jun, dan Indonesia pada 13 Jun.