EISENERZ, 2 Jun - Pelumba motosikal lasak dari Jerman, Manuel Lettenbichler meneruskan dominasi dalam saingan Red Bull Erzbergrodeo apabila meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam acara ekstrem ‘Hard Enduro’ yang berlangsung di pergunungan Tyrol.
Lettenbichler menamatkan perlumbaan mencabar sejauh 35 kilometer itu dalam masa 2 jam, 49 minit dan 17 saat.
Pelumba Britain, Billy Bolt berada di tempat kedua dengan perbezaan masa 11 minit, manakala Teodor Kabakchiev dari Bulgaria menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 3 jam dan 13 minit.
Pelumba berusia 27 tahun itu sebelum ini turut muncul juara siri jelajah FIM Hard Enduro pada tahun 2022 dan 2023, menjadikan beliau antara nama besar dalam arena sukan lasak tersebut.
Erzbergrodeo yang diadakan di kawasan lombong bijih besi terbuka dan persekitaran berbukit Tyrol dikenali sebagai salah satu perlumbaan paling mencabar dalam kalendar motosikal lasak dunia.
Hanya 14 penunggang berjaya menamatkan perlumbaan tahun ini sebelum had masa empat jam yang ditetapkan penganjur.
Kejohanan tahunan itu terus menarik perhatian peminat sukan ekstrem dari seluruh dunia, dengan laluan teknikalnya yang mencabar keupayaan fizikal dan mental para peserta.-REUTERS