fb fb fb fb fb

Terbuka Malaysia 2023: Zii Jia sedia hadapi cabaran Kodai di pusingan pertama

KUALA LUMPUR, 8 Januari - Jaguh perseorangan profesional lelaki Negara, Lee Zii Jia dijangka menerima tentangan sengit dan bakal berhempas-pulas dalam aksi pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 berdepan wakil Jepun, Kodai Naraoka.

Menurut Zii Jia, ia berikutan Kodai yang kini menghuni ranking ketujuh dunia dilihat mempunyai kelebihan bermain dalam aksi 'rally' panjang.

Kodai kini berada dalam momentum cemerlang selepas berjaya memperoleh kedudukan empat terbaik dalam Kejohanan Jelajah Dunia Akhir tahun lalu.

"Saya rasa permainan dia lebih kepada 'rally' dan dia 'defensive player' dan boleh nampak tahun lepas, permainan dia semua 'almost every match' akan satu jam, lebih punya sebab dia 'defend' sangat bagus, saya rasa kena 'prepare' untuk 'rally' panjang lah," kata beliau ketika ditemui media semasa menjalani sesi latihan di Stadium Axiata, Bukit Jalil, di sini.


(Jaguh perseorangan profesional lelaki Negara, Lee Zii Jia ditemu bual media semasa menjalani sesi
latihan sempena Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 di Stadium Axiata, Bukit Jalil)    

Namun tegas Zii Jia, beliau yang kini dibantu seorang lagi pemain profesional, Liew Daren, mempunyai ramuan untuk mengatasi lawan berusia 21 tahun itu.

Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 bakal berlangsung pada 10 hingga 15 Januari ini di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Sementara itu, Zii Jia meletak sepenuh kepercayaan kepada rakan 'sparring', Daren, fisioterapi peribadi, Sandra Fiedler dan jurulatih fizikal, Lim Joe Heang yang membantu beliau mempersiapkan fizikal serta merangka program latihan.

Tegas pemain di ranking kedua dunia tersebut, itu yang dimahukan beliau ketika ini iaitu bergerak solo tanpa khidmat jurulatih.

Media Baharu