PARIS, 30 Ogos- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, mencipta sensasi apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Pasangan yang kini berada ranking keempat dunia itu menampilkan prestasi cemerlang apabila menyingkirkan gandingan tuan rumah, Thom Gicquel–Delphine Delrue, dalam aksi separuh akhir di Adidas Arena.
Aksi penuh bersemangat ditunjukkan pasangan negara seawal set pertama apabila mengekang asakan lawan untuk meraih kemenangan 21–18.
Momentum itu diteruskan pada set kedua dengan corak permainan yang lebih agresif dan tersusun, sekali gus memastikan kemenangan bergaya 21–16.
Kejayaan itu dicapai hanya dalam tempoh 53 minit untuk kedua-dua set, sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke pentas final sulung di kejohanan dunia.
Pada perlawanan akhir esok, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei bakal berdepan cabaran beregu China, Jiang Zhen Beng–Wei Ya Xin, bagi merebut gelaran juara dunia.