fb fb fb fb fb

Kejohanan Badminton Dunia: Beregu wanita Pearly–Thinaah cipta sejarah layak ke final

Melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris / Foto BERNAMA

PARIS, 30 Ogos – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, mencipta sejarah baharu apabila melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris .

Kejayaan bersejarah itu hadir selepas gandingan negara menewaskan beregu dari Jepun, Nami Matsuyama–Chiharu Shida, dalam aksi separuh akhir di Adidas Arena.

Pasangan nombor dua dunia itu bermula dengan langkah kurang meyakinkan apabila tewas set pertama 14–21 hasil beberapa kesilapan mudah yang dimanfaatkan pihak lawan.

Namun, Pearly–Thinaah kembali memperkemas rentak permainan pada set kedua dengan strategi lebih tersusun, sekali gus mengikat kedudukan 21–13.

Aksi penuh bersemangat itu diteruskan dalam set penentuan, apabila gandingan negara mendominasi gelanggang untuk memastikan kemenangan bergaya 21–12.

Kejayaan ini menyaksikan Pearly–Thinaah menjadi pasangan wanita Malaysia pertama mara ke pentas akhir kejohanan paling berprestij dunia itu, sekali gus menambah lembaran baharu dalam sejarah badminton negara.

Pada perlawanan akhir esok, mereka bakal berdepan sama ada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu–Tan Ning, atau gandingan Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi.

HASRON BIN HASSAN