KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan reputasinya di pentas Asia, kini berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik benua tersebut.
Perkembangan ini dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi JDT, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman bola sepak terkemuka, Opta Power Ranking.
Menurut laporan tersebut, JDT kini berada di tangga ke-207 dunia, naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan terdahulu.
Kedudukan itu meletakkan skuad bimbingan Xisco Munoz di hadapan kelab-kelab ternama seperti Estudiantes, Stoke City, Besiktas, LA Galaxy, dan Empoli.
Di Asia Tenggara, JDT mengekalkan status sebagai pasukan nombor satu, mengatasi pencabar terdekatnya, Buriram United dari Thailand.
Setakat ini, hanya tujuh pasukan berada di atas JDT di benua Asia, iaitu empat gergasi Arab Saudi – Al Hilal, Al Nassr, Al Ahli, dan Al Ittihad – selain tiga wakil Jepun, iaitu Sanfrecce Hiroshima, Vissel Kobe, dan Machida Zelvia.
Tiada kelab lain dari Malaysia yang tersenarai dalam kelompok seribu terbaik dunia. Selangor FC berada di tangga 1,040, Terengganu FC di 1,581, Sabah FC di 1,809, dan KL City FC di 2,056.