fb fb fb fb fb

Kejohanan Memanah Berkuda Dunia: Abu Bakr Muhamad Akmal raih tempat ketiga

Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-17 di Ulaanbaatar, Mongolia / Foto MHAF

SEPANG, 30 Ogos – Atlet muda memanah berkuda negara, Abu Bakr Muhamad Akmal, mencipta sejarah tersendiri apabila meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-17 di Ulaanbaatar, Mongolia.

Pencapaian membanggakan ini hadir sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan, sekaligus dianggap sebagai hadiah istimewa untuk seluruh rakyat Malaysia.

Abu Bakr, yang berusia 13 tahun, berjaya mengetepikan peserta yang lebih berusia dan berpengalaman dalam saingan berformat terbuka yang menghimpunkan 73 atlet dari 15 negara.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya berjaya meraih tempat ketiga dalam format kabark dan ball hunting, serta berada di kedudukan keseluruhan nombor tiga. Saya tujukan kejayaan ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Selamat Hari Merdeka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Gelaran juara keseluruhan dimenangi oleh Arab Saudi, diikuti oleh Mongolia sebagai naib juara, sementara Malaysia melengkapkan podium menerusi bakat muda negara itu.

Kejohanan Dunia ini merupakan antara saingan terbesar dalam sukan memanah berkuda selepas Piala Dunia, yang lazimnya hanya disertai oleh atlet dewasa. Pencapaian Abu Bakr di pentas antarabangsa ini amat membanggakan.

HASRON BIN HASSAN