fb fb fb fb fb

Speedy Tigers tundukkan Korea Selatan 4-1, layak ke Super Four

Meneruskan rentak cemerlang pada kempen Piala Asia 2025 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Skuad hoki lelaki negara meneruskan rentak cemerlang pada kempen Piala Asia 2025 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Korea Selatan 4-1 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India hari ini.

Kemenangan kedua itu mengesahkan tempat skuad Speedy Tigers ke pusingan Super Four lebih awal, dengan baki satu perlawanan kumpulan menentang Taiwan yang dijadual berlangsung pada Isnin.

Pada pertembungan hari ini, kejayaan anak buah Sarjit Singh dipacu aksi cemerlang Mohamad Akhimullah Anuar Esook, yang meledak hatrik masing-masing menerusi dua gol padang pada minit ke-29 dan ke-58 serta gol pukulan sudut penalti pada minit ke-34.

Turut mencatat nama sebagai penjaring ialah Mohamad Ashran Hamsani selepas meledak gol padang pada minit ke-33.

Empat gol itu menutup peluang Korea Selatan dalam usaha mengutip tiga mata kedua berturut-turut, selepas terlebih dahulu berada di depan menerusi gol padang Jin Geonhyo seawal minit kedua.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke kelompok Super Four dan dua pasukan teratas peringkat Super Four akan merebut kejuaraan di pentas final pada 7 September. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN