fb fb fb fb fb

Kejohanan AFF B-23: Pemain gantian Shafi Azswad turut positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Skuad bola sepak negara Bawah-23 (B-23) sekali lagi tidak bernasib baik apabila penyerang Shafi Azswad Sapari, yang dikerah untuk menggantikan seorang pemain yang disahkan positif COVID-19, turut dijangkiti virus itu.

Menjelang perlawanan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 menentang Myanmar esok, ketua jurulatih Brad Maloney mengesahkan bahawa ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu, semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh semalam didapati positif.

“Ujian PCR sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah negatif, tetapi beliau disahkan positif menerusi satu ujian ketika tiba di sini.

“Pendaftaran (pemain) telah ditutup semalam, jadi kami terpaksa meneruskan kempen dengan 27 pemain,” katanya dalam sidang media maya dari ibu negara Kemboja itu, hari ini.

Maloney berkata menurut prosedur COVID-19 di Kemboja, seseorang pemain perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari dan hanya akan dilepaskan untuk menyertai pasukan selepas 48 jam disahkan negatif dalam ujian PCR kedua.

Shafi Azswad dipanggil untuk menggantikan Fahmi Daniel Zaaim yang didapati positif COVID-19 semasa ketibaan pasukan negara di Phnom Penh, Jumaat lepas.

Sebelum ini, Maloney terpaksa menggugurkan Muhammad Safwan Mazlan selepas pemain berkenaan dijangkiti virus itu ketika kem latihan berpusat di Petaling Jaya.

Sementara itu, Maloney telah memilih Mohd Aiman Afif Md Afizul untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan dalam perlawanan Kumpulan B bertemu Myanmar esok dan Laos Jumaat ini.

“Beliau telah bersama saya sejak hari pertama pada 2019, orang pertama yang menjaga kumpulan ini kerana beliau telah menjadi sebahagian daripada setiap pasukan yang kami pilih dalam kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Aiman Afif berkata ia adalah tanggungjawabnya bagi memastikan komunikasi antara anggota pasukan dan jurulatih sentiasa baik.

“Bagi saya setiap perlawanan yang kita hadapi kita perlu beri 100 peratus dan kita tidak boleh ambil mudah dengan mana-mana lawa. Jadi semua pemain perlu beri yang terbaik untuk esok,” katanya. - BERNAMA

Media Baharu