KUALA LUMPUR, 28 September - Klinik Bola Sepak Bandar Tun Razak 2025 yang menghimpunkan lebih 2,200 peserta kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun disifatkan sebagai wadah membentuk generasi berdisiplin, berintegriti serta memperkukuh perpaduan.
Program yang diadakan secara percuma itu turut membuka ruang kepada lebih ramai kanak-kanak mengasah bakat sejak usia muda.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah.
“Sukan adalah medium terbaik kukuhkan perpaduan. Buat apa kita hendak bergaduh?
"Kita mahu perkasakan bakat generasi” katanya ketika merasmikan Klinik bola sepak BTR di Arena Sukan Azman Hasyim.
Menurut beliau, kejayaan tokoh bola sepak negara terdahulu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan R. Arumugam wajar dijadikan inspirasi untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
Katanya, sukan bukan sahaja membentuk fizikal yang cergas malah melatih disiplin, semangat berpasukan dan nilai integriti yang penting dalam kehidupan seharian.