fb fb fb fb fb

FAM akui ada kesilapan teknikal penyerahan dokumen

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 September - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen melibatkan tujuh pemain berdarah warisan yang kini dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan, meski berlaku kekeliruan semua pemain tersebut adalah rakyat Malaysia yang sah.

"FAM mengambil serius perkara ini. Walau bagaimanapun, FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.

"FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika menguruskan kelayakan tujuh pemain terbabit, sebelum mereka diturunkan dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027, termasuk menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Hasil siasatan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta). Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID