fb fb fb fb fb

Kejayaan Piala Dunia Sepak Takraw, skuad negara bakal terima ganjaran

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

PUTRAJAYA, 31 Mei- Skuad sepak takraw negara yang melakar kecemerlangan pada Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur minggu lalu, bakal menerima berita gembira.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya sedang memperhalusi ganjaran setimpal untuk pemain.

Jelas Hannah, perkara itu sedang diperhalusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan akan diumumkan tidak lama lagi.

"Semestinya, kita akan memberikan ganjaran kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara. Baru-baru ini, membabitkan sukan sepak takraw di kejohanan dunia."

"Untuk bajet itu, saya belum boleh umumkan dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu teliti terlebih dahulu," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia meraih gelaran juara dalam acara double dan regu divisyen premier selepas menumbangkan musuh tradisi, Thailand pada saingan akhir.

Sementara itu, sesi libat urus akan dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan semua pemegang taruh untuk melihat impak kewangan terhadap negara berhubung penganjuran Sukan SEA 2027.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sesi itu juga bertujuan mempelawa negeri lain untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 bersama Putrajaya.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan, setakat ini hanya Sarawak melahirkan rasa minat untuk menganjurkan Sukan SEA 2027.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM