KUALA LUMPUR, 31 Mei- Jurang prestasi yang terlalu jauh menjadi punca pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tewas dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura,menentang pilihan utama, Viktor Axelsen dari Denmark.
Saingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu menyaksikan Jun Hao sukar untuk menyekat kemaraan lawannya.
Dalam aksi tersebut Jun Hao tewas dengan keputusan 12-21, 11-21.
Pada aksi separuh akhir, Axelsen bakal bertemu sama ada Loh Kean Yew dari Singapura atau Li Shi Feng dari China.
Sementara itu, hasrat beregu campuran negara, Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei untuk melangkah ke saingan separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas menentang pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung, hari ini.
Mereka tewas dengan keputusan 14-21, 18-21 pada aksi suku akhir.
Nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei apabila tewas 16-21, 21-9, 17-21 menentang He Jing Ting-Ren Xiang Yu dari China.