fb fb fb fb fb

Kediaman pemain Selangor, Khuzaimi Piee dipecah masuk, motosikal hilang

SUKAN BOLA KHUZAIMI
SUKAN BOLA KHUZAIMI

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika dia keluar untuk sesi latihannya di Pusat Latihan Selangor, semalam.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya hari ini, Ahmad Khuzaimi berkata kejadian tersebut menyebabkan sebuah motosikal hilang manakala beberapa beg silang serta pasport turut ‘lesap’.

“Kepada sesiapa yang terlihat motor Y15 Movistar biru plat RV1700 minta maklum kepada saya dan balai polis terdekat,” katanya.

Susulan kejadian itu, pemain berusia 30 tahun itu telah membuat laporan polis di Shah Alam pada pukul 11:30 malam selepas menjalani sesi latihan bersama skuad Gergasi Merah.

“Saya dapati pintu pagar depan dan belakang telah terbuka. Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dapati ada barang-barang yang hilang…,” menurut keterangan terkandung dalam laporan polis dibuatnya.

Ahmad Khuzaimi turut memuat naik beberapa keping foto menunjukkan terdapat kesan hitam pada satu daripada pintu serta pintu almari di dalam rumahnya.

Pada 5 Mei lalu, negara digemparkan dengan serangan terhadap pemain sayap sensasi Selangor Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim menyebabkan kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

aidan