KUALA LUMPUR, 23 Mei- Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah berpuas hati dengan aksi positif yang ditampilkan masing-masing, dalam saingan PERODUA Malaysia Master 2024.
Pasangan yang berada di kedudukan ke-28 dunia itu berkata ia adalah satu perkara baik bagi perlawanan pertama mereka selepas agak lama berehat.
Bagaimanapun, mereka optimis akan terus memperkemas corak permainan untuk pusingan yang seterusnya.
"Saya rasa kita sangat teruja nak turun dalam kejohanan ini. Lagi pun, kami sudah lama tidak beraksi dan berehat. Dalam set pertama hari ini, kita ada sedikit perlahan daripada segi rentak permainan."
"Namun, selepas kita ada komunikasi dengan pasangan dan juga jurulatih, kita tingkatkan intensiti permainan dan dapatkan semula momentum dalam perlawanan. Kami sangat gembira untuk perlawanan hari ini," kata M.Thinaah kepada pemberita selepas perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, di sini hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas menumpaskan pasangan India, R.Thaker-S.Singhi, dengan mata 21-17, 21-11 pada pusingan 16.
Untuk aksi suku akhir, pasangan itu akan berdepan gandingan pilihan kelapan kejohanan dari Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu.