fb fb fb fb fb

Kecewa di Euro 2024, Thomas Mueller umum bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa

Thomas Mueller /AFP

BERLIN, 16 Julai- Penyerang Jerman Thomas Mueller pada Isnin berkata dia akan bersara daripada bola sepak antarabangsa ekoran penyingkiran pasukannya di suku akhir Euro 2024 baru-baru ini.

“Selepas 131 perlawanan pasukan kebangsaan dan 45 gol, saya mengucapkan selamat tinggal,” kata Mueller dalam satu kenyataan video.

Mueller, yang berusia 35 tahun pada bulan September depan, merupakan ayam tambatan pasukan Jerman yang memenangi Piala Dunia 2014.

Penyerang berkarisma itu turut menjaringkan gol pembukaan ketika Jerman menang 7-1 ke atas Brazil, pada separuh akhir temasya dunia itu.

“Apabila saya bermain perlawanan antarabangsa pertama saya untuk pasukan kebangsaan Jerman lebih 14 tahun lalu, saya tidak pernah dapat membayangkan semua ini,” kata Mueller dalam video tersebut.

"Ia sentiasa membuatkan saya sangat bangga bermain untuk negara saya. Kami meraikan bersama dan kadangkala menitiskan air mata bersama," katanya.

Mueller yang sebak telah membayangkan persaraan berikutan penyingkiran Jerman dari Euro 2024.

Jerman, selaku tuan rumah tewas 2-1 pada suku akhir kepada Sepanyol, yang seterusnya menjulang trofi kejuaraan pada Ahad selepas menumpaskan England di perlawanan akhir.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE