fb fb fb fb fb

KDA FC kenduri gol di Kota Bharu

FOTO FB malaysianfootballleague

KOTA BHARU, 27 November - Pasukan Kedah Darul Aman, KDA FC berpesta gol di laman lawan apabila membelasah Kelantan FC, 6-1.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu, penyerang import Ifedayo Olusegun muncul wira apabila menyumbat empat gol.

Dua gol tersebut adalah hasil penalti pada minit awal perlawanan iaitu pada minit ke-6 dan juga minit ke-26.

Tiga minit selepas itu, gawang Kelantan FC bocor lagi, kali ini giliran Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman melakar gol pertamanya musim ini menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi untuk gol ketiga Kedah.

Gawang Kelantan terus dirobek menerusi jaringan hatrik Ifedayo hasil hantaran lolos Partiban K Janasekaran untuk mendahului permainan 4-0 di babak pertama.

Kelantan terus dirundung duka apabila Ifedayo dan Muhammad Arif Farhan Md Isa mencetak nama selaku penjaring minit ke 79 dan 86 untuk melengkapkan kemenangan Skuad kendalian Nafuzi Zain.

The Red Warriors meraih gol saguhati menerusi rembatan pemain gantian, Haziman Che Ngah minit ke-73.

KDA FC menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 53 mata, dipisahkan 2 mata di belakang Selangor FC.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD